|
MESYUARAT KE-17 MENTERI-MENTERI ALAM SEKITAR ASEAN DAN
MESYUARAT KE-18 CONFERENCE OF THE PARTIES (COP) KEPADA PERJANJIAN ASEAN MENGENAI PENCEMARAN JEREBU RENTAS SEMPADAN
23 - 24 Ogos 2023
Vientiane, Lao PDR
|
1. Mesyuarat Ke-17 Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN dan Mesyuarat Ke-18 Conference of the Parties (COP) kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan telah diadakan pada 23–24 Ogos 2023 di Vientiane, Lao PDR. Mesyuarat-mesyuarat tersebut mengambil maklum mengenai pencapaian dan kemajuan usaha kerjasama serantau dalam menangani isu-isu alam sekitar.
2. Negara Brunei Darussalam telah diwakili oleh Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan, Yang Mulia Dayang Aldila binti Haji Mohammad Salleh, Pemangku Setiausaha Tetap (Perancangan, Guna Tanah dan Alam Sekitar), Kementerian Pembangunan, pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan dan dari Sekretariat Perubahan Iklim Negara Brunei Darussalam, Jabatan Perdana Menteri.
3. Mesyuarat menghargai keutamaan-keutamaan semasa Indonesia mempengerusikan Mesyuarat ASEAN 2023, dalam memupuk kerjasama serantau dalam memajukan tindakan iklim, menggalakkan pemuliharaan biodiversiti, memerangi pencemaran plastik marin dan merealisasikan bandar yang berdayatahan. Mesyuarat meluluskan ASEAN Joint Statement on Climate Change to 28th Session of the Conference of the Parties to the United Nations Framework on Climate Change (UNFCCC COP28) untuk pertimbangan Sidang Kemuncak ASEAN ke-43. Mesyuarat juga menyampaikan penghargaan terhadap inisiatif Indonesia mengenai Tindakan Iklim Berasaskan Komuniti ASEAN untuk berkongsi pengalaman, membina kapasiti, menggalakkan amalan terbaik, dan meningkatkan penyertaan pelbagai pihak dalam melaksanakan tindakan iklim berasaskan komuniti di negara-negara ASEAN.
4. Di dalam kenyataan Yang Berhormat Menteri Pembangunan, telah mengongsikan mengenai inisiatif-inisiatif Negara Brunei Darussalam untuk mencapai alam sekitar yang berdaya tahan yang menyokong wawasan kebangsaan Wawasan Brunei 2035 dan Agenda 2030 bagi Pembangunan Mampan, yang merangkumi Voluntary National Review bagi Brunei Darussalam 2023 (VNR 2023) yang telah dilaporkan semasa Forum Politik Peringkat Tinggi mengenai Pembangunan Mampan (HLPF) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diadakan pada bulan Julai 2023, pelaksanaan kenaikan cukai duti eksais bagi pengimpotan produk-produk plastik, kempen pembersihan serpihan laut – Wira Pantai ('Coastal Marvel') yang bertujuan untuk memupuk masyarakat yang bertanggungjawab ke arah melindungi dan memelihara alam sekitar melalui kaedah pelupusan sisa yang betul, inisiatif-inisiatif perubahan iklim antara lainnya Arahan Pelaporan Mandatori (Mandatory Reporting Directive) yang baru dilancarkan sebagai sebahagian daripada komitmen Negara Brunei Darussalam untuk memenuhi kewajipan di bawah UNFCCC dan Perjanjian Paris, penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN di Negara Brunei Darussalam serta pemuliharaan kepelbagaian biologi yang menyokong program mitigasi perubahan iklim melalui penanaman pokok di mana setakat bulan Jun 2023, empat puluh dua ribu, sembilan ratus dua puluh lapan (42,928) pokok telah berhasil ditanam di seluruh negara.
5. Mesyuarat menyambut baik pemuktamadan Perjanjian Penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN (ACCC) yang akan ditubuhkan di Negara Brunei Darussalam, yang bertujuan untuk memudahkan kerjasama dan penyelerasan serantau mengenai inisiatif perubahan iklim di kalangan Negara-negara ASEAN dengan agensi-agensi kerajaan yang berkaitan, organisasi serantau dan antarabangsa; dan menyediakan cadangan dasar untuk menangani perubahan iklim kepada Negara-Negara Anggota ASEAN. Mesyuarat menantikan pengoperasian Pusat Perubahan Iklim ASEAN berkenaan.Majlis Penyerahan Perjanjian Penubuhan Pusat Penubuhan yang ditandatangani merupakan pencapaian yang penting dalam penubuhan ACCC dan mencerminkan usaha kolektif Negara Anggota ASEAN menangani perubahan iklim. Dengan penandatanganan perjanjian tersebut, Negara-Negara Anggota ASEAN akan memulakan prosedur domestik masing-masing untuk menghadapkan Instrumen Ratifikasi (Instrument of Ratification) kepada ASEAN Sekretariat, bagi memulakan operasi ACCC tersebut. Majlis tersebut diakhiri dengan penyerahan rasmi Perjanjian Penubuhan dari Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid, Menteri Pembangunan, sebagai negara tuan rumah ACCC, kepada Ekkaphab Phanthavong, Timbalan Ketua Setiausaha Komuniti Sosio-Budaya ASEAN.
6. Mesyuarat merakamkan penghargaan kepada Pusat Kepelbagaian Biologi ASEAN (ACB) atas sokongan berterusan kepada Negara-Negara Anggota ASEAN dalam memudahkan kerjasama dan penyelarasan mengenai kepelbagaian biologi. Mesyuarat juga meluluskan penamaan Kawasan Perlindungan Hidupan Liar Phu Khieo – Taman Negara Nam Nao Thailand; dan Taman Negara Phu Kradueng Thailand, masing-masing sebagai Taman Warisan ASEAN ke-56 dan ke-57. Mesyuarat bersetuju secara prinsip Pelan Tindakan ASEAN mengenai Pengurusan Spesies Asing yang Invasif (IAS Management), yang dicadangkan oleh Indonesia dalam menangani salah satu ancaman utama kehilangan alam semula jadi dan kepelbagaian biologi di rantau ini.
|
7. Mesyuarat menantikan pelaksanaan 'Horizontal Learning for ASEAN Sustainable Cities' oleh Indonesia, yang akan menyediakan platfom bagi Negara-Negara ASEAN untuk berkongsi pengalaman dan pengajaran yang dipelajari dalam pembangunan bandar yang berdaya tahan, meningkatkan pengetahuan dan pemahaman yang lebih baik mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) terutamanya mengenai topik-topik pengurusan sisa dan pembangunan bandar, dan membina potensi rangkaian dan kerjasama antara penggubal dasar, sektor swasta dan masyarakat sivil dalam memulakan bandar yang berdayatahan di ASEAN.
8. Mesyuarat mengucapkan tahniah kepada para penerima Anugerah ke-4 'ASEAN Eco-schools' dan Anugerah ke-2 'ASEAN Youth Eco-champions. Mesyuarat memberikan penghargaan kepada pencapaian penerima-penerima anugerah dan menggalakkan sekolah dan warganegara lain untuk belajar daripada amalan terbaik mereka dan mengamalkan amalan alam sekitar yang lebih mampan.
9. Bagi Negara Brunei Darussalam, Anugerah ke-4 'ASEAN Eco-Schools' diberikan kepada Sekolah Rendah Pengiran Setia Negara Pengiran Mohammad Yusof bagi kategori Sekolah Rendah dan Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan bagi kategori Sekolah Menengah. Bagi Anugerah ke-2 'ASEAN Youth Eco-Champions' disampaikan kepada Dayang Shaima binti Haji Misli (Ketua Negara Hab bagi Sustainable Ocean Alliance (SOA) Brunei) bagi kategori 'Junior' dan Dayang Noor Hafizah binti Rashid (Pengasas Big BWN Project) bagi kategori 'Senior'.
10. Mesyuarat mengambil maklum akan paras serpihan laut yang tinggi dan semakin meningkat, dan mengesahkan komitmen untuk melaksanakan Pelan Tindakan Serantau ASEAN untuk Memerangi Serpihan Laut di Negara-Negara Anggota ASEAN. Mesyuarat seterusnya menyampaikan penghargaan atas kemajuan pelaksanaan projek dan inisiatif berkaitan serpihan laut, termasuk kejayaan mengadakan ASEAN-Indo Pacific Workshop on Marine Plastic Debris dan ASEAN Conference on Combating Plastic Pollution yang akan dianjurkan oleh Indonesia.
11. Mesyuarat sukacita mengongsikan mengenai penerbitan Laporan ASEAN State of Environment yang ke-6 (SOER6), yang menyediakan maklumat yang relevan dan berguna perihal keadaan dan trend alam sekitar di rantau ini serta memaklumkan keputusan pengurusan alam sekitar yang akan menyumbang kepada usaha pembangunan berdayatahan ASEAN.
12. Mesyuarat mengambil maklum mengenai dialog berterusan antara ASEAN dan Rakan Kongsi mengenai alam sekitar, perubahan iklim dan isu-isu alam sekitar merentasi sector semasa Dialog ASEAN-Jepun mengenai Kerjasama Alam Sekitar, Dialog ASEAN-ROK mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dialog ASEAN-EU Peringkat Tinggi mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dialog Peringkat Tinggi ASEAN-A.S. mengenai Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, dan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN+3 mengenai Alam Sekitar, yang diadakan pada 2-3 Ogos 2023 yang diadakan di Bogor, Indonesia.
13. Mesyuarat juga mengesahkan komitmen terhadap pelaksanaan penuh dan berkesan akan Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) dan memberi penghargaan terhadap kejayaan memuktamadkan Perjanjian Penubuhan Pusat Penyelaras ASEAN bagi Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (ACC THPC) yang ditempatkan di-Indonesia. Majlis Penyerahan Perjanjian Penubuhan ACC THPC yang telah ditandatangani diadakan selepas Majlis Penyerahan Perjanjian Penubuhan E.A. ACCC. Majlis Penyerahan diakhiri dengan penyerahan rasmi EA ACC THPC yang telah ditandatangani dari Yang Berhormat Prof. Siti Nurbaya, Menteri Lingkungan Hidup dan Perhutanan, sebagai negara tuan rumah ACC THPC, kepada His Excellency Ekkaphab Phanthavong, Timbalan Ketua Setiausaha Komuniti Sosio-Budaya ASEAN. Mesyuarat juga menghargai sumbangan Sekretariat ASEAN dalam melaksanakan fungsi sebagai 'Interim ACC THPC' dan menantikan operasi penuh Pusat yang akan memudahkan pelaksanaan lebih pantas dan berkesan dalam semua aspek AATHP untuk menangani pencemaran jerebu rentas sempadan di rantau ASEAN.
14. Mesyuarat juga telah memberi penghargaan kepada Jawatankuasa di bawah Persidangan Pihak Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan (COM) dan mengalu-alukan penggunaan Pelan Hala Tuju Kedua Kerjasama ASEAN ke arah Kawalan Pencemaran Jerebu Merentasi Sempadan dengan Cara Pelaksanaan (Pelan Hala Tuju Tanpa Jerebu) 2023 -2030 dan Strategi Pengurusan Tanah Gambut ASEAN Kedua (APMS) 2023-2030 untuk mengukuhkan lagi, mempergiatkan dan menangani secara menyeluruh punca pencemaran jerebu rentas sempadan. Mesyuarat seterusnya mengesahkan Rangka Kerja Pelaburan ASEAN untuk Pengurusan Tanah Mampan Tanpa Jerebu untuk meningkatkan perkongsian pelbagai pihak berkepentingan dan mendapatkan sumber di peringkat tempatan, kebangsaan dan serantau untuk menggalakkan pengurusan tanah yang mampan dan menangani isu jerebu rentas sempadan dengan berkesan.
|
15. Mesyuarat menyuarakan kebimbangan yang mendalam mengenai keadaan jerebu merentas sempadan dan tahap Indeks Kualiti Udara "Sangat Tidak Sihat" di sub-rantau utara ASEAN awal tahun ini dan seterusnya membincangkan potensi musim kemarau yang berpanjangan tahun ini bagi sub-selatan ASEAN dimana sebahagiannya disebabkan oleh terjadinya semula El Niño. Mesyuarat mengambil maklum akan kesan perubahan iklim, seperti kemarau yang lebih kerap dan kejadian cuaca ekstrem lain yang boleh meningkatkan risiko aktiviti titik panas tinggi dan kejadian jerebu asap rentas sempadan sejak 2019. Mesyuarat menekankan akan kepentingan perlunya mengambil tindakan tegas untuk meningkatkan kewaspadaan, pencegahan langkah-langkah, dan prosedur pemadaman kebakaran segera untuk mengurangkan kebakaran tanah dan hutan dan untuk meminimumkan kejadian jerebu rentas sempadan semasa tempoh cuaca kering.
16. Mesyuarat mengambil maklum penilaian Pusat Meteorologi Khas ASEAN (ASMC) mengenai sub-rantau Mekong yang terjejas oleh aktiviti titik panas tinggi dan jerebu asap semasa musim kemarau berlaku antara bulan Disember 2022 dan Mei 2023. Keadaan kemarau didapati bertambah teruk pada Mac dan April 2023 dan Amaran Tahap 3 telah dikeluarkan untuk sub-rantau pada 2 Mac 2023, yang mana jerebu merentas sempadan menjejaskan banyak bahagian sub-rantau didapati meluas. Kiraan keseluruhan titik panas berlaku di sub-rantau tersebut adalah sekitar 57% lebih tinggi pada 2023 berbanding 2022 antara Januari dan Ogos. Amaran Tahap 1 untuk wilayah selatan ASEAN telah dikeluarkan pada 29 Mei 2023 dan Amaran Tahap 2 telah mula diaktifkan pada 28 Julai 2023. Kiraan keseluruhan titik panas berlaku bagi rantau ini adalah sekitar 114% lebih tinggi pada 2023 berbanding 2022 antara Januari dan Ogos. Mesyuarat mengambil maklum bahawa keadaan El Niño pada masa ini diramalkan terus berlaku sekurang-kurangnya sehingga akhir tahun. Dipole Lautan Hindi (IOD) positif juga diramalkan akan berkembang mulai Ogos 2023. Musim kemarau bagi wilayah selatan ASEAN boleh menjadi lebih berpanjangan berbanding tiga tahun lalu dengan berlakunya La Niña dan risiko aktiviti titik panas tinggi dan kejadian jerebu asap rentas sempadan tahun ini dijangka yang tertinggi sejak 2019. Bagi sub-rantau Mekong, kawasan panas dan aktiviti jerebu asap mungkin mula meningkat menjelang akhir tahun, terutamanya jika keadaan El Niño berterusan dalam beberapa bulan akan datang. Yang Berhormat, Menteri Pembangunan, mengongsikan bahawa kualiti udara Negara Brunei Darussalam sedikit terjejas oleh pencemaran jerebu rentas sempadan yang berlaku pada minggu keempat bulan Julai disebabkan oleh jerebu asap dari aktiviti titik panas di negara jiran yang membawa kepada perubahan kualiti udara di negara ini. Bacaan Pollutant Standard Indeks (PSI) yang direkodkan dari semua stesen pemantauan kualiti udara meningkat lebih tinggi daripada biasa, dengan PSI 50 yang tertinggi. Hujan lebat sekali-sekala telah membantu mengurangkan dan menghalang keadaan berjerebu daripada berterusan di negara ini. Bagaimanapun, dengan potensi cuaca panas dan kering El Niño yang dijangka berkembang dalam beberapa bulan akan datang tahun ini, beliau menggesa semua AMS untuk terus bekerjasama rapat, bersatu dalam tanggungjawab bersama, menangani isu pencemaran jerebu rentas sempadan dan melindungi alam sekitar di rantau ini. Mesyuarat juga mengambilmaklum tentang maklumat baru satelit dan aplikasi yang digunakan untuk pemantauan kebakaran dan jerebu, dan bengkel fizikal di bawah program pembinaan keupayaan ASMC yang disambung semula pada 2023, termasuk perlaksanaan pertama program baharu.
17. Mesyuarat mengambil maklum bahawa Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) telah menambahbaikkan 'Southeast Asia Fire Danger Rating System (SEA FDRS)' termasuklah peningkatan bilangan stesyen cuaca, melaksanakan kod bahaya kebakaran baharu untuk sub-rantau ASEAN Utara, dan simulasi ramalan 7 hari. Mesyuarat tersebut menyokong inisiatif MET Malaysia dan akan meneruskan kerjasama dan menggalakkan penggunaan penambahbaikan SEA FDRS.
18. Mesyuarat mengambil maklum laporan-laporan 'Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution (MSC)' dan 'the Sub-Regional Ministerial Steering Committee on Transboundary Haze Pollution in the Mekong Sub-Region (MSC Mekong)' dalam mengesahkan komitmen mereka untuk menangani isu khusus berkaitan jerebu yang berlaku di kawasan masing-masing. Mesyuarat-mesyuarat tersebut mengucapkan tahniah kepada kejayaan MSC ke-24 di Singapura dan berharap persidangan awal MSC Mekong ke-12 di Viet Nam sebagai persediaan menghadapi musim kemarau yang akan datang.
|
19. Mesyuarat telah bertemu Rakan-Rakan Dialog dari negara-negara 'Plus Three' (China, Jepun, dan Republik Korea), Jepun, dan Amerika Syarikat pada Mesyuarat Menteri Alam Sekitar ASEAN Plus Three, Dialog Kerjasama ASEAN-Jepun Peringkat Menteri Alam Sekitar, dan Dialog ASEAN- A.S. Peringkat Menteri Alam Sekitar dan Iklim masing-masing, untuk merebiu aktiviti-aktibiti semasa dan membincangkan kerjasama strategik masa depan yang antara lain, isu-isu kepelbagaian biologi, perubahan iklim, pendidikan alam sekitar, sains dan teknologi alam sekitar, bandar lestari alam sekitar, dan serpihan plastik marin.
20. Mesyuarat mengalu-alukan Inisiatif Kerjasama ASEAN-Jepun: Program Strategik bagi Iklim dan Alam Sekitar ASEAN (SPACE), pengendalian Minggu Alam Sekitar ASEAN-Jepun, dan Pelancaran Inisiatif SPACE, sempena ulang tahun ke-50 hubungan Rakan Dialog ASEAN-Jepun.
21. Mesyuarat juga mengalu-alukan Rancangan Kerja Alam Sekitar dan Iklim ASEAN-A.S. untuk membimbing kerjasama antara ASEAN dan A.S. dalam meningkatkan hasrat iklim dan mitigasi dan penyesuaian serantau, menggalakkan inovasi untuk masa depan mengenai rendah karbon, mengaktifkan kewangan iklim, dan menyokong perlindungan alam sekitar dan pemuliharaan kepelbagaian biologi.
22. Mesyuarat bersetuju untuk bertemu lagi di Thailand pada tahun 2024 untuk Mesyuarat Ke-19 Conference of the Parties (COP) kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, dan di Malaysia pada tahun 2025 bagi Mesyuarat Ke-18 Menteri-Menteri ASEAN Alam Sekitar dan Mesyuarat Ke-20 Conference of the Parties (COP) kepada Perjanjian ASEAN mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan.
Disediakan Oleh:
Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi
Kementerian Pembangunan